KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2025 — Satu lembaran baharu dalam dunia penceritaan digital tanah air tercipta apabila Persatuan Drama Web Vertikal Malaysia (VERTIMA) dilancarkan secara rasmi 27 Ogos lalu.
Sebagai sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan, VERTIMA berperanan menjadi pemangkin utama industri dengan misi membangunkan ekosistem drama web vertikal yang dinamik, profesional dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengerusi VERTIMA, Zuraini Kassim, berkata penubuhan persatuan ini selaras dengan perubahan budaya penontonan generasi baharu yang semakin berorientasikan mudah alih.

Zuraini Kassim
“Kebangkitan drama web vertikal merupakan satu peralihan budaya besar dan Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memimpin gerakan ini di rantau ini. Kami bukan sekadar menghasilkan kandungan, tetapi membina satu ekonomi kreatif baharu yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti,” katanya.
Bagi memacu perkembangan industri, VERTIMA menubuhkan lima biro utama iaitu Biro Latihan & Hal Ehwal Ahli, Biro Produksi & Teknikal, Biro Kandungan Kreatif, Biro Media & Acara serta Biro Jaringan & Hubungan Industri.
Persatuan itu turut mengumumkan penganjuran Anugerah Drama Vertikal Tahunan (ADVEMA) sebagai platform untuk meraikan pencapaian cemerlang dalam bidang lakonan, pengarahan, penulisan dan produksi teknikal.

Majlis tersebut turut menyaksikan penganjuran sidang meja bulat mengenai masa depan penceritaan gaya baharu vertikal tanah air, dengan penyertaan Pengarah Unit Perancangan FINAS, Encik Mat Yusop Hassan; Presiden Seniman, Encik Rozaidi Jamil; serta CEO MantaYay Talent, Encik Ng Yu Bin.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan global, VERTIMA kini giat menjalinkan kerjasama strategik dengan rakan serantau dan antarabangsa termasuk program pertukaran bakat serta perkongsian ilmu.

Lebih membanggakan, VERTIMA telah dilantik sebagai penasihat dan pakar rujuk oleh syarikat penerbitan Australia Barat, Technoequip Pty Ltd, bagi penerbitan Drama Vertikal Memorayabilia yang bakal bertanding dalam pertandingan antarabangsa Reels Impact anjuran ReelShort di Amerika Syarikat.
Dengan visi menjadikan drama web vertikal Malaysia diiktiraf di pentas dunia, VERTIMA optimis mampu menjadi pusat sehenti bagi pencipta, penerbit dan pemain industri untuk terus berinovasi serta memacu industri kreatif negara ke tahap lebih tinggi.
Artikel KelkatuTV